Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong
(agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh
Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan
untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk
melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan
rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama
dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal
antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta
dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah
insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia
adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak
berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa
serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun
kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang
berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi,
apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup
kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit
pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin
sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila
berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira
siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia
tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum
ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini.
Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai
kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya
kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia
apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak
menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita.
Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu
apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan
menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting
bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada
berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan
cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang
sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri.
Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang
ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah
rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling
percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya
berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun
kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui
kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan
kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama
melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu
perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan
perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing.
Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan
melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa
memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana
ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar
bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab
seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami
diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka,
dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu.
Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita
dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia
sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam
percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula
suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia
sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang
dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah
jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.
Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang
bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk
memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak
segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur
ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada
melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk
masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia
dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan
pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan
masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain
dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita
yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan
untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada
ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT.
Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha
esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk
melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita
melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk,
insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita,
buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang
kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah
semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat
di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

hope ini mnjadi ptunjuk buatku....,
ReplyDelete